Harakah keadilan Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan

Friday, 6 May 2011

Facebook rangsang seks remaja

FACEBOOK dianggap laman web rangkaian sosial paling popular ketika ini, malah sudah melangkaui populariti laman sosial seperti Friendster dan Myspace yang suatu ketika dulu menjadi kegilaan hampir generasi muda untuk mencari kenalan dan berkongsi pelbagai maklumat.Mungkin kerana konsep laman sosial yang diasaskan Mark Zuckerberg bersama rakannya, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes, dilihat lebih terbuka dan memudahkan sesiapa saja berkongsi pelbagai maklumat selain membolehkan proses rangkaian hubungan sosial berlangsung lebih mudah.

Kegilaan terhadap Facebook yang mula digunakan 4 Februari 2004 bukan saja menular di kalangan kaki internet, malah menguasai sesiapa saja termasuk mereka yang selama ini tidak pernah mempunyai akaun dalam laman sosiald dan turut turut digunakan mereka yang tidak begitu mahir dengan teknologi maklumat (IT). Pendek kata, sesiapa boleh mempunyai akaun Facebook, malah agak janggal jika ada rakan kita tidak membuka akaun Facebook. 

Lebih tepat laman web sosial ini jadi pilihan utama untuk dilayari sejurus membuka komputer, juga perisian paling kerap digunakan dalam telefon bimbit pintar seperti iPhone, Blackberry dan sistem Android. Tidak hairanlah laman web itu pernah disekat sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam dan Iran, malah kebanyakan tempat kerja melarang penggunaannya bagi menghindarkan pekerja membuang masa melayarinya. 

Fenomena ini semakin hebat di negara kita dengan statistik dikeluarkan 77Agency Limited, agensi yang menghimpunkan data pengguna Facebook seluruh dunia merekodkan 10.27 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook, iaitu lebih satu pertiga daripada penduduk Malaysia. 

Angka ini mungkin tidak begitu mengejutkan tetapi apabila diteliti walaupun ada kesan positif, lebih banyak kesan negatif berlaku akibat kegilaan yang lebih tujuh tahun melanda dunia. Daripada 10.27 juta pemilik akaun Facebook di negara ini, 5.5 juta daripadanya lelaki yang menunjukkan meskipun penduduk wanita lebih ramai, lelaki lebih suka menghabiskan masa dengan laman sosial sebegitu, mungkin untuk tujuan baik iaitu mengembangkan perniagaan tetapi tidak dapat dinafikan peranannya turut menyuntik gaya hidup negatif. 
Lebih mengejutkan apabila statistik menunjukkan 2.7 juta penggunanya berumur di bawah 13 tahun iaitu peringkat pendidikan rendah. Pendek kata, lebih 20 peratus pengguna Facebook ialah kanak-kanak! 

Untuk diperhalusi, 11,800 pengguna Facebook di negara ini menunjukkan minat terhadap hubungan seks dan daripada jumlah itu lebih 2,000 daripadanya berusia bawah 13 tahun. Kenapa mereka semuda ini berminat dengan hubungan seks dan apa yang mempengaruhi mereka? 

Pakar Perunding Keluarga dan Motivasi, Dr Rubiah Kulop Hamzah, berkata di sebalik peranan Facebook meluaskan rangkaian hubungan sosial dan prospek perniagaan, ia sebenarnya lebih banyak mengubah karakter dan cara hidup masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja kerana kelompok ini lebih mudah terdedah kepada gejala tidak sihat. 

“Facebook atau apa saja laman sosial adalah cara paling berkesan berinteraksi kerana mempunyai tarikan tersendiri seperti status diri yang sentiasa dikemas kini dan koleksi gambar lebih interaktif. Secara positifnya, hubungan kekeluargaan dan persahabatan menjadi lebih dekat dan tiada halangan. 

“Dalam konteks ini, jarak fizikal bukan lagi masalah, malah sesiapa saja boleh membina rangkaian termasuk menghimpunkan saudara-mara, rakan dan mewujudkan alumni. Dengan cara itu, dunia akan terasa lebih kecil sekali gus menghapuskan jarak antara sesiapa saja. 

“Tidak perlu buang masa melepak dengan rakan kerana ia boleh berlaku secara maya. Secara positifnya, ia mungkin menyelamatkan seseorang daripada ancaman sosial kerana sentiasa di rumah. Namun itu hanya secara fizikal tetapi perhubungan yang kerap ini juga menimbulkan keakraban yang berisiko,” katanya. 

Beliau berkata, ancaman besar yang dimaksudkan ialah keakraban itu akhirnya menyebabkan remaja atau kanak-kanak berkongsi sesuatu yang boleh merangsang minda negatif seperti hubungan seks. 

“Gaya bahasa terbuka dan tidak ada tapisan dan perkongsian gambar seksi menarik perhatian ramai mengenali mereka. Sekarang di Facebook, orang tidak kisah menelanjangkan maruah dengan berkongsi gambar seksi semata-mata untuk meraih perhatian. 

“Senario itu menambahkan populariti mereka dan tentu sesuatu yang tidak sihat. Gejala sebegini menjadi trend kanak-kanak dan remaja. Paling membimbangkan, jaringan tanpa had ini menjadi ruang orang menabur fitnah mengenai politik dan apa saja yang dikongsi seluruh dunia. 

“Bagi saya, penggunaan Facebook untuk semua tujuan ini lebih berbahaya dan lebih mudah mengubah karakter kanak-kanak. Ia lebih berbahaya daripada atom dan lebih tajam daripada pedang. Melihat statistik ini, dikhuatiri kanak-kanak semakin berubah karakter termasuk program hidup mereka kerana lebih banyak membuang masa di Facebook,” katanya. 

Beliau sebenarnya merujuk sifat kanak-kanak yang berada pada tahap pembentukan karakter kerana ketika usia sebegitu, mereka sangat rapuh dan mudah terjebak dengan gejala tidak sihat. Dengan penggunaan Facebook, pembentukan karakter negatif mereka menjadi lebih mudah. 

Apa yang dilihat dan dilayari saban hari melekat dalam minda, malah trend semasa pengguna Facebook tidak segan silu berkongsi gambar seksi semakin mudah diakses pengguna muda. 

“Percaya atau tidak ada yang gelisah jika tidak dapat membuka Facebook dalam sehari. Ia kini bukan setakat sumber maklumat dan hiburan tetapi juga ejen pembentukan karakter. Mangsanya ialah kanak-kanak. Jika bangga menelanjangkan diri (bergambar seksi), mereka juga tidak kisah menjual diri. 

“Di Facebook tiada lagi rahsia. Inilah yang dinamakan hidup yang telanjang. Saya juga selalu berdepan kes suami isteri bercerai kerana Facebook. 
Maksudnya, isteri dapat hidu kecurangan suami dalam laman sosial atau cemburu melihat koleksi rakan Facebook suami yang seksi. 

Berdasarkan statistik itu juga menunjukkan golongan usia antara 20 hingga 30 tahun adalah pengguna Facebook paling ramai iaitu lebih 4.6 juta orang manakala terdapat hampir 345 ribu pengguna yang melebihi usia 50 tahun. 

Seramai 67,700 pengguna Facebook di negara ini menunjukkan minat terhadap peluang perniagaan dan 211,200 daripada mereka mahu mencari kenalan. 

No comments:

Post a Comment