sila baca dan fahami.....
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi supaya sentiasa istiqamah bersama Islam. Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hujrat ayat 13:
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Minbar hari ini merasa amat terpanggil untuk menjelaskan maksud dan kesan fitnah yang wajib difahami, jika kita benar-benar inginkan kesejahteraan dan keredhaan Allah SWT di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam. Ianya dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain.
Fitnah ialah mengadakan suatu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk. Fitnah boleh memecah belahkan masyarakat, meruntuh perpaduan ummah, merendahkan akhlak dan menjatuhkan maruah Islam.
Fitnah pula boleh menimbulkan Qazaf. Qazaf bererti membuat sesuatu pertuduhan terhadap seorang melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi muslim yang adil. Oleh itu orang yang menuduh telah melakukan jenayah Qazaf dan fitnah. Pembuktian dengan cara bersumpah, termasuk sumpah laknat (mubahalah) atau menggunakan bahan-bahan lain sebagai bukti adalah tidak relevan sama sekali kerana tidak menepati kehendak syariat.
Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah Qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak. Dalam hubungan ini marilah kita menghayati dan meyakini pesanan Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
"Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya".
(Riwayat At-Thabrani)
Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki yang terhadap orang yang dituduh. Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan aqidah umat Islam sehingga hari kiamat.
Adakalanya fitnah itu diulas, diperbesar dengan memetik kenyataan oleh pihak-pihak tertentu ke arah menggambarkan bahawa si tertuduh memang bersalah. Inilah budaya buruk sangka dan hasad dengki oleh mereka yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam. Setiap individu yang bersama melakukan perbuatan terkutuk ini, atau mempercayai atau sama-sama menyebarkan akan menerima pembalasan dari Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 25:
"Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus, tetapi akan menimpa kamu secara umum; Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya".
No comments:
Post a Comment