KUALA LUMPUR: Malaysia mengingatkan Singapura bahawa republik itu jangan berdalih dengan memberi alasan ruang udara negara mereka yang kecil sebagai sebab untuk menceroboh negara ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia tahu bahawa Singapura adalah negara jiran yang terdekat dengan ruang udara mereka terlalu kecil sehingga memungkinkan jet republik itu 'terbabas' ke ruang udara negara ini.
"Tetapi itu jangan dijadikan alasan untuk pihak Singapura menerobosi ruang udara kita.
"Tentulah tindakan mereka akan lebih agresif jika ada pesawat-pesawat tentera udara kita yang masuk ke ruang udara mereka tanpa kebenaran, tetapi oleh kerana kita adalah negara jiran dan kita berada dalam komuniti negara ASEAN selain juga menyertai Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) maka kita memahami perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen pendidikan Guru Besar peringkat negeri Perak di sini, pada Selasa.
Pada Isnin, Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat memberitahu bahawa sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura dikesan menceroboh ruang udara negara sejak tahun 2008 dan Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan itu.
Ahmad Zahid berkata bantahan diplomatik Malaysia terhadap pencerobohan pesawat udara republik itu memperlihatkan keprihatinan bahawa kerajaan sentiasa memantau semua pergerakan udara yang dilakukan oleh tentera Singapura.
Menurutnya, Malaysia telah banyak bertoleransi dengan Singapura dalam pelbagai perkara namun diharap semangat kejiranan dijadikan sebagai penanda aras tidak membuat provokasi-provokasi ketenteraan.
"Kita merasakan bahawa negara yang terbaik adalah negara yang tidak menjadikan jirannya bersangka tidak baik dan kalau kita duduk di rumah teres apabila kita mahu memaku dinding ingatlah bahawa di sebelahnya akan bising apabila paku di dinding itu diketuk," katanya.
Ahmad Zahid berkata hubungan pemimpin negara ini dengan pemimpin negara Singapura adalah baik namun itu tidak menjadikan keizinan bahawa pencerobohan di ruang negara ini dibenarkan.
Oleh itu, beliau mengingatkan Singapura supaya tidak mempunyai agenda untuk menimbulkan provokasi kepada negara ini dan Malaysia tidak sesekali berhasrat sedemikian.
"KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya sebagai Menteri Pertahanan bukan didasari kepada berapa banyak peperangan yang dimenangi oleh saya tetapi beberapa banyak peperangan atau permasalahan yang saya dapat hindari jadi ini menjadi keutamaan kepada saya," katanya
No comments:
Post a Comment