Barisan Nasional (BN) bukanlah kambing hitam dalam isu penyebaran video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"BN adalah parti yang jelas, telus. BN akan siasat apakah sebabnya sesuatu perkara itu berlaku, itu pendekatan yang kita ambil. Kita awal-awal lagi pun sudah katakan yang ini bukan permainan kita, ia dilakukan oleh pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sempena program turun padangnya ke sekitar Kuala Lumpur, Ahad.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul yang diluluskan oleh Muktamar PAS hari ini yang mendakwa BN bertanggungjawab dalam penyebaran video seks itu.
Beliau berkata PAS sebagai parti yang memperjuangkan masalah Islam, seharusnya membahaskan mengenai kebenaran berhubung siapa pelaku dalam video seks itu, sekali gus menyatakan pendirian mereka dalam isu itu.
"Parti yang kata memperjuangkan masalah Islam sudah lari dari landasan Islam, mereka membicarakan mengenai soal kepentingan politik, langsung tidak mengambil kira soal hak, tuntutan agama dan soal mencari keredhaan Allah.
"Semuanya permainan politik yang tidak menyelesaikan masalah dan tidak membantu dalam memberikan imej baik bagi parti PAS," katanya.
Mengulas mengenai kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan semalam, Muhyiddin berkata beliau tidak menganggap ia sebagai perkara luar biasa kerana proses peralihan pimpinan dalam parti politik berlakusepanjang masa.
"Bagi saya yang penting ialah Umno dan BN... bagaimana persiapan, langkah, usaha, pendekatan yang kita ambil. Saya tidak kisah apa yang mereka (PAS) nak buat di sana, saya lebih kisah apa anggota parti dan kerajaan kita lakukan,"katanya.
Sementara itu, mengenai penduduk Kampung Sungai Kerandang di Kuala Kubu Baharu yang bakal diusir oleh kerajaan negeri Selangor yang mahu mengambil semula tanah di situ untuk projek pembangunan, Muhyiddin berkata sekiranya Selangor merupakan kerajaan yang membela dan prihatin dengan masalah rakyat, mereka seharusnya memberi peluang dan ruang kepada rakyat untuk terus kekal di situ.
"Sekiranya kerajaan negeri ada rancangan untuk tanah itu diambil balik, biasanya lesen menduduki sementara (TOL) itu dibuat secara tahunan dan boleh diperbaharui.
"Tetapi, kalau mereka ada rancangan lain, kerajaan negeri patut cari tempat gantian pasal kita hendak tolong rakyat. Di sini nampaknya mereka tidak kisah langsung dan membiarkan rakyat begitu sahaja. Saya rasa dukacita kerana tiada pertimbangan langsung dari pihak kerajaan negeri terhadap masalah mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment