PEKAN: Dua laporan polis dilakukan terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini bagi membantah kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Laporan polis itu dilakukan anggota Umno Bahagian Pekan dan pertubuhan bukan kerajaan yang diketuai Timbalan Ketua Umno Bahagian Datuk Ishak Muhamad di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.
Satu lagi laporan dilakukan Umno Bahagian Kuala Krauyang diketuai Ketua Umno Bahagian Datuk Ismail Mohamed Said di Balai Polis Kuala Krau.
Sebelum itu, kira-kira 200 anggota Umno bahagian Pekan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengadakan perhimpunan di Bangunan Umno di sini bagi membantah kenyataan Mohamad Sabu itu.
Ishak berkata kenyataan Mohamad Sabu, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, itu hanya untuk kepentingan diri sendiri yang bertujuan meraih populariti.
Umno Pekan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin PAS itu sebagai pengajaran kepada pihak lain agar tidak membuat kenyataan dengan sewenang-wenangnya, katanya.
Di Kuala Krau, kira-kira 160 anggota Umno bahagian yang diketuai Ismail turut berhimpun bagi tujuan sama sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Krau.
Ismail berkata Mat Sabu tidak layak menjadi seorang pemimpin dan disanjung kerana cetek sejarah dan sanggup memperlekehkan anggota keselamatan.
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Mat Sabu sebagai orang yang "hilang akal" kerana menghina pejuang kemerdekaan seperti tentera dan polis.
"Sepatutnya kita memberikan penghormatan kepada pejuang negara dan bukannya memberi pengktirafan kepada komunis... perjuangan bersenjata komunis telah menyebabkan ramai yang terbunuh dan membabitkan kerugian harta benda," katanya kepada Bernama di sini.
No comments:
Post a Comment