Monday, 25 April 2011

Ummi Hafilda fail semula saman fitnah RM100 juta

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali hari ini memfailkan semula saman fitnah RM100 juta terhadap bekas rakan perniagaannya dan pengendali laman berita Malaysiakini yang telah dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 13 April lalu. 
Ummi Hafilda, 43, memfailkan saman itu melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan di Mahkamah Tinggi Sivil dengan menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd yang menyelenggarakan laman berita Malaysiakini sebagai defendan kedua.


Ummi Hafilda, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa defendan pertama dalam satu temuramah di lobi Bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi. 
Beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Nor Azman semata-mata untuk memalukannya dan berniat jahat. 

Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terbabit dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap Anwar. 

Ummi Hafilda mendakwa defendan kedua telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah itu di laman web www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu. 

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif turut memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan fitnah terhadapnya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment