Friday, 12 August 2011

Kes Liwat Anwar: Najib, Rosmah Hadir Di Mahkamah


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Jumaat hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta berhubung kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Najib dan Rosmah tiba pada pukul 2.55 petang untuk bertemu pasukan peguam bela Anwar yang diketuai oleh Karpal Singh.
Mereka tiba 15 minit lebih awal daripada pasukan peguam bela Anwar.
Perdana Menteri dan isteri telah bertemu dengan pasukan peguam bela Anwar secara berasingan selama lima minit di bilik mesyuarat Tingkat Tujuh kompleks berkenaan.
Najib dan isteri meninggalkan kompleks itu pada pukul 3.28 petang ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di sini, kemudian, Najib berkata kehadirannya di Kompleks Mahkamah itu adalah sebagai menghormati keputusan yang telah dibuat hakim.
Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan dua permohonan Anwar untuk menemubual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bagi perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya.
Sementara itu, Karpal Singh berkata, Najib dan Rosmah menolak untuk di temu bual bagi kes perbicaraan liwat Anwar yang sedang berjalan dan kedua-duanya juga tidak mahu menjadi saksi pembelaan dalam kes itu.
Najib berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi itu dan "saya sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim, tak kiralah apa jua jawatan."
Perdana Menteri berkata, sebab itu beliau hadir ke majlis tersebut dan telah memaklumkan pendiriannya.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan perkara yang dimaklumkannya kepada peguam bela Anwar kerana beliau telah "sampaikan(nya) mengikut hak saya."
"Saya tahu apa hak saya dan saya telah sampaikan kepada pihak peguam yang mewakili Anwar dan Anwar juga ada di situ," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai kehadirannya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Sementara itu, Karpal berkata, Perdana Menteri dan isteri tiba lebih awal di bilik mesyuarat sebelum pasukan pembelaan, dan mereka bertemu secara berasingan dengan Najib memasuki bilik itu terlebih dahulu diikuti selepas itu oleh Rosmah.
Beliau berkata Najib dan Rosmah menyebut perkataan yang sama sebaik mereka memasuki bilik itu iaitu: "Saya tidak ingin ditemu bual dan saya tidak mahu menjadi saksi pembelaan."
Beliau juga berkata, kedua-dua mereka tidak diiringi oleh peguam.
Ketika ditanya sama ada pihak pembelaan mahu memanggil Najib, Rosmah dan saksi-saksi lain yang ditawarkan oleh pasukan pendakwaan, Karpal berkata beliau masih belum memutuskan mengenai perkara itu.
Karpal berkata, seorang saksi lain iaitu bekas ketua polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof yang hadir di mahkamah tengah hari tadi juga enggan ditemu bual dan menjadi saksi pembelaan.
Setakat ini, pasukan pembelaan telah menemu bual 15 saksi termasuk pemilik kondominium di mana insiden yang didakwa itu berlaku, Hasanuddin Abd Hamid dan isterinya.
Karpal berkata, pasukan pembelaan belum menemu bual enam yang lain termasuk bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan lima yang lain.
"Oleh itu, kita tidak dapat meneruskan perbicaraan seperti dipersetujui sebelum kita selesai menemu bual saksi sebelum perbicaraan," katanya.
Isnin lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib, Rosmah dan Musa.
Pada penutup kes, pihak pendakwaan menawarkan 71 saksi termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang sahaja.
Mahkamah menetapkan 15 hingga 26 Ogos untuk kes pembelaan. Mahkamah pada mulanya menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama untuk memberi keterangan.
Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar untuk membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, merupakan seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

No comments:

Post a Comment