Wednesday, 7 December 2011

NOH OMAR UNDUR DIRI?


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan sama ada beliau akan dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) atau tidak.
    
Katanya beliau sendiri tidak tahu sama ada akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang yang disandangnya dalam pilihan raya umum nanti.
    
"Tak tahu... semua tak tahu... itu semua terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Siapa pun tak boleh jangka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ceramah sambi Makan Tengah Hari anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia di Petaling Jaya hari ini.
    
Majlis itu disertai ketua-ketua pegawai eksekutif daripada enam sektor utama industri syarikat Multi National Company (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) peringkat negeri Selangor meliputi sektor elektronik, automotif, pengangkutan dan logistik, percetakan, makanan serta pertanian dan perladangan.
    


Ia bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama di antara industri bagi mencapai keperluan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Program Transformasi Ekonomi di sesebuah negeri
    
Ditanya sama ada beliau mempunyai senarai nama bakal calon untuk
diketengahkan, Noh berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.
    
"Saya telah berulang kali buat kenyataan yang semua orang kena terima hakikat bahawa apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan semua orang sudah hilang jawatan wakil rakyat dan apabila ini berlaku, kuasa untuk memilih bakal calon ialah di tangan Perdana Menteri," katanya.
    
Sehubungan itu Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor menasihati mereka yang tidak terpilih sebagai calon serta mereka yang tidak terpilih mempertahankan kerusi agar berpegang kepada prinsip "kerja sebagaimana kita ingin orang lain bekerja untuk kita."
    
Beliau berkata jika itu dapat dijadikan pegangan maka usaha untuk merampas semula negeri yang kini dikuasai pembangkang termasuk Selangor akan menjadi lebih mudah.
    
"Jadi, prinsipnya ialah jika yang dulu (bekas calon) tidak terpilih semula, mereka kena berikan sokongan kepada calon baru.
    
"Kalau dulu waktu dia bertanding dia perlukan orang untuk sokong, tidak mahu orang sabotaj, jadi jika orang baru bertanding, maka dia juga mesti mengelak daripada mensabotaj dan perlu memberikan sokongan yang penuh sebagai mana yang beliau harapkan semasa dia bertanding dulu," katanya sebagai mengulas mengenai keupayaan Umno menguasai semula Selangor yang sering diperlekeh pakatan pembangkang.

Noh berkata mereka yang tidak dicalonkan semula oleh Perdana Menteri perlu menerima dengan hati terbuka kerana beliau yakin Najib selaku Presiden Umno tentu mempunyai sebab tersendiri untuk memilih calon berkenaan.
    
"Kalau prinsip ini dapat dipegang, maka saya ingat kita boleh terima calon itu. Bagaimanapun (dalam memilih calon) Perdana Menteri ada sebut bahawa beliau juga akan berunding dengan pimpinan di peringkat bahagian," katanya

No comments:

Post a Comment