Harakah keadilan Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan

Monday, 18 July 2011

ARTIS DITUDUH BELI UNDI JUGA...

KUALA LUMPUR: Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang baru, Jurey Latiff Rosli kesal dengan tuduhan Datuk Paduka Shuhaimi Baba yang menuduhnya membeli undi untuk memenangi jawatan tertinggi dalam Mesyuarat Agung Tahunan Gafim yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Ahad.

Jurey berkata, tuduhan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) itu sebagai tindakan yang tidak berasas kerana mempunyai niat yang tidak baik terhadapnya.

"Saya kesal apabila ada pihak mendakwa saya tidak telus dan membeli undi termasuklah membayar RM300 kepada perwakilan tertentu bagi memenangi jawatan itu. Ia satu tuduhan yang tidak benar sama sekali," kata Jurey kepada mStar Online yang ditemui sejurus majlis berkenaan tamat di sini, Ahad.


Jurey diminta mengulas surat bantahan yang dihantar oleh Shuhaimi kepada beberapa pihak dalam persatuan yang mengatakan Jurey telah membeli undi untuk memenangi jawatan berkenaan.

Selain surat tersebut Shuhaimi turut menghantar surat bagi memaklumkan PFM menarik diri untuk bergabung dalam Gafim yang dilihat ada kaitan dengan pemilihan jawatankuasa baru pada kali ini.


Jurey Latif (duduk dua dari kanan) bersama barisan Ahli Jawatankuasa Gafim yang baru.
Jurey berkata, pemilihannya sebagai Presiden Gafim yang baru adalah berdasarkan kepada keputusan pengundian yang dilakukan oleh kira-kira 50 perwakilan selain atas kapasitinya sebagai presiden dua persatuan lain iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Tindakan Industri Kreatif dan Multimedia (Majika).

Kata Jurey, dia yakin kemenangannya adalah kerana keyakinan ahli-ahli dalam 11 persatuan yang bergabung dalam Gafim untuk melihatnya menerajui persatuan tersebut selepas penyandangya Ahmad Puad Onah mengumumkan bagi melepaskan jawatan berkenaan.

"Ahli-ahli semua yakin dengan kepimpinan saya termasuklah melihat bagaimana kemenangan saya dalam Majika sebelum ini. Atas dasar itulah saya percaya mampu untuk menerajui Gafim sekali gus memenangi pemilihan kali ini," katanya.

Ditanya apakah punca tuduhan itu dikeluarkan oleh Shuhaimi, jelas Jurey ia mungkin disebabkan pengarah filem tersebut mahu melihat "orang-orangnya" memegang tampuk tertinggi persatuan itu.


Datuk Paduka Shuhaimi Baba
Katanya, jika hal itu berlaku, ia satu tindakan yang dianggap tidak adil kerana soal pemilihan terletak kepada tangan perwakilan untuk membuat keputusan.

"Ini bukan kali pertama PFM menarik diri dari Gafim. Sebelum ini pun dah pernah tetapi selepas dipijuk mereka masuk balik. Dan kali ini mereka buat perkara yang sama semula," katanya.

Sehubungan itu, jelas Jurey dia akan berbincang dengan pihak PFM agar menarik semula keputusan tersebut bagi memastikan hasrat melihat gabungan persatuan seni menjadi kuat akan tercapai.

Mengulas mengenai kemenangannya dalam pemilihan kali ini Jurey berkata, dia berhasrat untuk membuat penjenamaan semula Gafim agar imej persatuan yang suram seperti sebelum ini dapat diubah selain ia dapat berfungsi sebagai persatuan yang gah dalam membela masalah-masalah ahli kepada pihak atasan.

Langkah pertama katanya adalah menukar logo baru selain meluluskan usul hanya presiden-presiden yang bergabung dalam persatuan itu sahaja layak bertanding jawatan Presiden Gafim pada masa akan datang.

Selain PFM yang sudah menarik diri, Gafim dianggotai oleh Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (Fdam), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) dan Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar).

Turut serta ialah Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanahair (Papita), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (Miewa), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) dan Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (Irim).

Berikut ini senarai jawatankuasa baru Gafim bagi tempoh 2011 sehingga 2013:

Presiden: Jurey Latiff Rosli

Timbalan Presiden: Yoki Chin

Naib Presiden: Khir Md. Noor

Setiausaha Agung: Yusof Kelana

Penolong Setiausaha Agung: Jamil Mutalib

Bendahari: Pansha

Penolong Bendahari: Kamil Ariffin

Pemeriksa Kira-Kira: Abdul Rahim Awang dan Ali Hussin

No comments:

Post a Comment